
DISESUAIKAN KEMBALI DARI TEKS ASAL
Pattani (Thai ปัตตานี) merupakan salah satu wilayah (changwat) di selatan Thailand. Provinsi-provinsi yang berjiran (dari arah selatan tenggara searah jarum jam) adalah Narathiwat (Menara), Yala (Jala) dan Songkhla (Senggora).
Masyarakat Melayu setempat menggelarkan wilayah mereka, Patani Darussalam atau Patani Raya.
Pattani terletak di Semenanjung Melayu dengan pantai Teluk Thailand di sebelah utara. Di bahagian selatan terdapat gunung-ganang dan tarikan pelancong seperti taman negara Budo-Sungai Padi yang yang berada di persempadanan wilayah Yala(Jala) dan Narathiwat(Menara). Di sini juga terdapat beberapa tumbuhan yang agak unik seperti palma Bangsoon dan rotan Takathong. Di kawasan sempadan Songkhla dan Yala pula terdapat sebuah taman rimba yang terkenal Namtok Sai Khao.
Pada awalnya, Pattani merupakan sebuah kerajaan Melayu Islam yang berdaulat, mempunyai kesultanan dan perlembagaan yang tersendiri. Patani adalah sebahagian dari 'Tanah Melayu'. Namun pada pertengahan abad ke-19 Patani telah menjadi korban penaklukan Kerajaan Siam.
Pada tahun 1826, penaklukan Siam terhadap Patani mendapat pengakuan British. Dalam usahanya untuk mengukuhkan kedudukannya di Pattani, pada tahun 1902 Kerajaan Siam melaksanakan undang-Undang Thesaphiban.
Dengan itu, sistem pemerintahan kesultanan Melayu telah dihapuskan. Dengan ditandatanganinya Perjanjian Bangkok pada tahun 1909, Pattani telah diakui oleh British sebagai tanah jajahan Siam tanpa mempertimbangkan keinginan penduduk asli Melayu Patani.
Sejak penghapusan pemerintahan Kesultanan Melayu Pattani, masyarakat Melayu-Pattani berada dalam kedudukan tertekan dan lemah . Seperti yang diungkap oleh W.A.R. Wood, di Songkhla, penduduk Melayu telah menjadi mangsa sebuah pemerintahan yang tidak diperintah dengan baik. Akibat tekanan inilah kekacauan sering terjadi di Pattani sehingga kini. Pada tahun 1923, Tengku Abdul Kadir Kamaruddin, bekas Raja Melayu Patani, dengan bantuan pejuang-pejuang dari Turki, memimpin satu gerakan pembebasan. Semangat anti-Siam menjadi lebih hebat di saat Kerajaan Pibul Songgram (1939-44) cuba mengacukkan kaum minoriti Melayu ke dalam masyarakat Siam melalui Undang-Undang Rathaniyom.
Penglibatan Siam dalam Perang Dunia Kedua di pihak tentera Jepun telah memberikan harapan kepada orang-orang Melayu Pattani untuk membebaskan tanah air mereka dari penjajahan Siam. Tengku Mahmud Mahyudin, putra kepada bekas Raja Melayu Patani juga seorang pegawai berpangkat Major dalam Pasukan Force 136, telah mengajukan cadangan kepada pihak berkuasa British di India supaya mengambilalih Pattani dan wilayah sekitarnya serta digabungkan dengan Tanah Melayu.
Cadangan Tengku Mahmud itu selaras dengan cadangan Pejabat Tanah Jajahan British dalam mengkaji kedudukan tanah ismus Kra dari sudut kepentingan keamanan Tanah Melayu setelah tamatnya perang nanti.
Harapan itu semakin terbuka saat pihak sekutu, dalam Perjanjian San Francisco pada bulan April 1945, menerima prinsip hak menentukan nasib sendiri (self-determination) sebagai usaha membebaskan tanah jajahan dari belenggu penjajahan.
Atas semangat itu, pada 1 November 1945, sekumpulan pemimpin Melayu Patani dipimpin oleh Tengku Abdul Jalal, bekas wakil rakyat wilayah Narathiwat, telah mengemukakan petition kepada British dengan tujuan memohon agar empat wilayah di Selatan Siam dibebaskan dari kekuasaan Pemerintahan Siam dan digabungkan dengan Semenanjung Tanah Melayu. Namun perspektif British terhadap Siam berubah apabila Peperangan Pasifik selesai. Keselamatan tanah jajahan dan kepentingan British di Asia Tenggara menjadi pertimbangan utama British dalam perbincangannya dengan Siam mahupun Pattani.
British memerlukan kerjasama Siam untuk mendapatkan stok beras untuk keperluan tanah jajahannya. Tidak kurang pentingnya, British terpaksa menyesuaikan perundangannya terhadap Siam dengan tuntutan Amerika Syarikat yang ingin menetapkan wilayah Siam pada tahun 1941.
Kebangkitan Komunis di Asia Tenggara, khususnya di Tanah Melayu pada tahun 1948, menjadi faktor pertimbangan British dalam menentukan keputusannya. Kerajaan British menganggap Siam sebagai negara benteng terhadap ancaman Komunis China. Oleh itu British perlu memastikan Siam terus stabil dan memihak kepada Barat dalam persaingan dengan Negara-Negara Komunis. British memerlukan kerjasama Siam untuk menghapuskan kegiatan pengganas Komunis di sempadan Tanah Melayu-Siam.
Kebetulan pula Siam telah memberikan jaminan untuk memperkenalkan perubahan di Pattani untuk mengatasi masalah yang dihadapi masyarakat Melayu. Oleh kerana itu, isu Pattani yang awalnya dianggap kurang penting malah kembali dibangkitkan akan memperkuat hubungan dengan Siam.
Setelah Persidangan Songkla pada awal Januari 1949, pihak berkuasa British di Tanah Melayu atas tuntutan pihak Siam mulai mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin pejuangan Pattani. Tengku Mahmud Mahyudin mendapat tekanan yang hebat sementara Haji Sulung dihukum penjara. Pergerakan politik Pattani semakin lemah dengan kematian Tengku Mahmud Mahyudin dan Haji Sulung pada tahun 1954.
